SOALAN LAZIM (FAQ)

1. Apakah kaedah permohonan kemasukan ke politeknik?
  Permohonan hendaklah dibuat melalui kaedah dalam talian (ON-LINE) dengan melayari laman web www.politeknik.edu.my
2. Kawasan saya tidak mempunyai kemudahan internet, adakah politeknik menyediakan borang?
  Pemohon yang sukar mendapatkan kemudahan internet boleh menghubungi mana-mana Jabatan Hal-Ehwal Pelajar Politeknik KPT yang berhampiran secara menelefon atau menulis surat untuk mendapatkan keterangan lanjut.
3. Berapakah caj yang dikenakan bagi setiap permohonan?
  Pemohon diminta membeli nombor PIN untuk mengakses e-Borang, di mana-mana Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan harga RM6.00 (Ringgit Malaysia: Enam sahaja).
4. Berapakah jumlah program diploma yang ditawarkan oleh politeknik?
  Terdapat 49 Program di peringkat diploma dalam pelbagai bidang yang ditawarkan oleh politeknik.
5. Berapakah jumlah kursus sijil yang ditawarkan oleh politeknik?
  Mulai Sesi Jun 2010, politeknik tidak lagi menawarkan program di peringkat sijil.
6. Bagaimana dengan syarat kemasukan ke politeknik?
  Syarat kemasukan ke politeknik bergantung kepada kursus dan peringkat pengajian. Secara umumnya, calon mestilah warganegara Malaysia dan lulus SPM. Bagi kursus peringkat diploma, calon mestilah mempunyai sekurang-kurangnya lima kepujian termasuk matapelajaran matematik/matematik tambahan manakala bagi peringkat sijil, calon mestilah kepujian samada matematik/matematik tambahan atau matepelajaran sains/teknikal/vokasional/sastera ikhtisas.
Maklumat secara terperinci berkenaan syarat kemasukan boleh diperolehi di www.politeknik.edu.my
7. Berapa lamakah tempoh pengajian peringkat diploma?
 

Tempoh pengajian di politeknik adalah seperti berikut:

1. Diploma selain Sains Kesetiausahaan, Penyenggaraan Pesawat dan Kejuruteraan Perkapalan – 6 semester
2. Diploma Kejuruteraan Perkapalan – 7 semester
3. Diploma Penyenggaraan Pesawat – 5 semester
4. Diploma Sains Kesetiusahaan – 4 semester

8. Saya lulusan sijil kolej komuniti, apakah syarat yang membolehkan saya melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di politeknik?
  Pemohon mesti tamat pengajian di peringkat sijil kolej komuniti. Memiliki HPNM sekurang-kurangnya 2.90 dan 1 tahun pengalaman selepas tamat pengajian di peringkat sijil kolej komuniti. Jika HPNM kurang daripada 2.90, pemohon mestilah mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya 2 tahun.
9. Bolehkah saya memohon program diploma politeknik dengan menggunakan sijil IKM saya?
  Tidak boleh. Buat masa sekarang, politeknik membuka ruang kepada lima (4) kategori lulusan iaitu lepasan SPM, lepasan luar Negara setara SPM, lulusan diploma politeknik, lulusan sijil politeknik dan lulusan sijil kolej komuniti sahaja. Walau bagaimanapun, pelajar boleh memohon untuk mendapatkan pengecualian kursusl atau pindahan kredit bagi kursus-kursus tertentu.
10. Saya rabun warna, apakah program yang layak dipohon? 
 

Calon yang rabun warna layak memohon mana-mana program di Politeknik kecuali:

i. Diploma Penyenggaraan Pesawat,
ii. Diploma Kejuruteraan Perkapalan,
iii. Diploma Kejuruteraan Mekatronik, dan
iv. Program-program Kejuruteraan Elektrik atau Elektronik.
v. Program Reka Bentuk & Komunikasi Visual

11. Berapa kalikah politeknik mengambil pelajar dalam setahun?
  Pengambilan pelajar ke politeknik diadakan sebanyak dua (2) kali setahun iaitu pada bulan Julai dan Januari. Permohonan boleh dibuat pada bulan Mac dan Oktober setiap tahun.
12. Bilakah iklan kemasukan ke politeknik disiarkan?
  Iklan permohonan kemasukan ke politeknik disiarkan dua (2) kali setahun iaitu pada awal bulan Mac dan pertengahan bulan Oktober.
13. Bolehkan saya membuat lebih daripada satu permohonan?
  Calon hanya dibenarkan membuat satu permohonan sahaja bagi setiap sesi kemasukan. Setiap calon diberikan lima pilihan program untuk dipohon. Walau bagaimanapun calon dibenarkan untuk membuat semakan atau pindaan maklumat dari semasa ke semasa hingga tarikh tutup permohonan.
14. Bagaimanakah saya boleh mengetahui keputusan permohonan?
  Keputusan permohonan boleh disemak melaluil laman web http://www.politeknik.edu.my.
15. Apakah tindakan politeknik sekiranya saya tersalah memberi maklumat semasa membuat permohonan?
  Segala maklumat yang diberikan semasa permohonan mestilah disemak dengan teliti. Segala maklumat akan dinilai dan memberi merit dalam penawaran kepada calon. Kesalahan maklumat yang diberikan boleh menyebabkan tawaran ditarik semula pada bila-bila masa walaupun calon telah mendaftar di politeknik.
16. Saya menyedari tersalah mengisi maklumat permohonan selepas tamat tempoh. Apakah tindakan yang perlu saya lakukan?
  Calon dinasihatkan untuk memohon semula pada sesi berikutnya.
17. Apakah jenis dan jumlah yuran yang akan dikenakan oleh politeknik?
 

Berikut adalah jenis dan jumlah yuran yang dikenakan di politeknik KPT:

1. Yuran pengajian – RM200.00/semester
2. Yuran Asrama – RM60.00/semester
3. Bayaran pendaftaran – ditetapkan oleh politeknik, dianggarkan RM600.00

18. Bolehkah saya membuat memohon pertukaran program selain daripada kursus yang ditawarkan?
  Rayuan hendaklah disalurkan terus ke Bahagian Pengambilan Pelajar, Jabatan Pengajian Politeknik
19. Bolehkah saya membuat permohonan pertukaran ke politeknik yang berhampiran dengan rumah saya?
  Rayuan hendaklah disalurkan terus ke Bahagian Pengambilan Pelajar, Jabatan Pengajian Politeknik
20. Saya daripada keluarga yang berpendapatan rendah, adakah politeknik menyediakan pembiayaan semasa tempoh pengajian?
  Pihak politeknik tidak menyediakan bantuan kewangan/pembiayaan sepanjang pengajian di Politeknik. Walau bagaimanapun, PTPTN menawarkan pinjaman peringkat Diploma. Di samping itu, pihak penaja seperti JPA, Yayasan Negeri dan lain-lain badan korporat sedia menawarkan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar Politeknik yang berkelayakan. Pihak politeknik membantu dalam menguruskan permohonan pinjaman dan sebagainya.
21. Berapakah jumlah pinjaman yang ditawarkan?
  Secara purata PTPTN menawarkan RM 5000 diperingkat Diploma. Walau bagaimanapun jumlah tawaran pinjaman bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkenaan.
22. Adakah filem x-ray perlu dibawa semasa hari pendaftaran?
  Pemohon yang telah berjaya di tawarkan ke Politeknik KPT dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk laporan X-Ray. Filem X-Ray tidak perlu dikemukakan semasa mendaftar.
23. Bolehkah saya membuat pemeriksaan kesihatan di klinik swasta?
  Status kesihatan hendaklah disahkan oleh doktor dari hospital kerajaan atau hospital/klinik swasta. Segala pembayaran pemeriksaan kesihatan adalah ditanggung oleh pemohon.
24. Bilakah politeknik menghantar surat tawaran rasmi kepada saya?
  Calon yang berjaya mestilah mencetak Surat Pengesahan Tawaran dan Borang Jawapan Tawaran melalui laman web politeknik. Calon hendaklah menghantar segala dokumen yang diperlukan ke politeknik berkenaan. Setelah politeknik membuat semakan dan mendapati tiada percanggahan maklumat, surat tawaran rasmi beserta dengan dokumen pendaftaran akan diposkan kepada calon.
25. Selepas saya menamatkan pengajian di politeknik, dimanakah saya boleh melanjutkan pengajian?
  Program Artikulasi lulusan politeknik ke Institusi MTUN dan IPT disediakan kepada pelajar yang ingin menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
26. Saya sedang bekerja, adakah politeknik menyediakan kursus secara ‘part time’?
  Sebanyak 14 buah politeknik menjalankan kursus secara sambilan. Kursus-kursus yang dijalankan adalah terhad. Pengajaran dan pembelajaran akan diadakan pada hujung minggu dan cuti umum. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan Politeknik Merlimau di 062636687 ext 1150/1151.
27 Adakah politeknik menyediakan kemudahan asrama?
 

Kapisiti asrama disemua politeknik adalah terhad dan pengurusan politeknik telah menetapkan golongan berikut akan diberi keutamaan iaitu:

a. pelajar semester satu
b. Pelajar yang bergiat aktif dalam sukan dan kokurikulum
c. Tiada rekod disiplin

28. Adakah bantuan pencarian rumah sewa ditawarkan oleh politeknik bagi pelajar yang tidak mendapat asrama?
  Pihak politeknik hanya menyediakan link Facebook group : Bilik/Rumah Sewa Pelajar Politeknik Merlimau yang mana group ini menyenarai tuan rumah yang berminat untuk menyewakan rumah mereka kepada pelajar politeknik. Rundingan adalah diantara tuan rumah dan pelajar sendiri. Pihak Politeknik tidak terlibat dalam rundingan tersebut. Namun kebajikan pelajar yang tinggal dirumah sewa adalah masih dibawah tanggungjawab Jabatan HEP.