Politeknik Merlimau Melaka (PMM) akan menjadi tuan rumah kepada Majlis Peluncuran Rangka Tindakan Kemampanan POLYCC (RTKPC) 2026–2050 dan Polytechnic & Community College Sustainability Award (PolyCCSustAward) 2026 yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi.

Majlis yang akan berlangsung pada 30 September 2026 (Rabu) di Melaka International Trade Centre (MITC) itu dijadual akan dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi. Bertemakan “Memacu Kecemerlangan Teknikal, Menjulang Kelestarian Sejagat”, program ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan memberi pengiktirafan kepada politeknik dan kolej komuniti yang terlibat.

Penyampaian PolyCCSustAward 2026 dijalankan dalam dua sesi. Sesi pertama merangkumi Anugerah Hari Bumi 2026 dan Anugerah Penulisan Hijau Terbaik. Sesi kedua pula menyampaikan Anugerah Pembudayaan Mampan, Anugerah Kampus Mampan, Anugerah Komuniti Mampan, Anugerah Penyelidikan Mampan dan Anugerah Projek Mampan, dengan Juara Politeknik dan Juara Kolej Komuniti bagi setiap kategori. 

Menteri Pendidikan Tinggi akan menyampaikan hadiah UI GreenMetric World University Rankings 2025 (lima terbaik) dan anugerah The Best Green Model POLYCC 2026. 

Acara kemuncak ialah peluncuran RTKPC 2026–2050.

Ikuti perkembangan terkini program ini melalui laman web rasmi PMM (www.pmm.edu.my) dan saluran media sosial rasmi PMM. 

Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada En. Mohamad Najib, Pengarah Program, di talian 013-5039664.