Satu detik bersejarah tercipta hari ini apabila mercu tanda Politeknik Merlimau Melaka (PMM) dirasmikan sebagai simbol kebanggaan dan identiti institusi. Perasmian mercu tanda ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah, menandakan tekad baharu PMM dalam melangkah sebagai Politeknik Premier.

Mercu tanda ini dinamakan KARSA K.I.T.A, yang melambangkan jiwa, semangat dan komitmen seluruh warga PMM berteraskan integriti, aspirasi tinggi, tindakan responsif, sinergi menyeluruh serta amanah berterusan dalam merealisasikan kecemerlangan institusi.

KARSA K.I.T.A membawa maksud:

🔹 K – Komitmen
Komitmen padu seluruh warga PMM dalam melaksanakan amanah pendidikan berfokus kepada Pembangunan Holistik Pelajar menerusi akronim KITA iaitu Komunikasi, Insaniah, TVET dan Akademik secara berterusan demi kecemerlangan institusi.

🔹 A – Aspirasi
Cita-cita tinggi warga PMM untuk melonjakkan politeknik ke tahap premier melalui inovasi, kecemerlangan akademik, kebolehpasaran graduan, kelestarian kampus serta reputasi global.

🔹 R – Responsif
Keupayaan warga PMM bertindak pantas, adaptif dan progresif terhadap perubahan teknologi, keperluan industri serta cabaran pendidikan TVET semasa.

🔹 S – Sinergi
Kerjasama erat antara warga institusi, pelajar, industri dan komuniti dalam membentuk ekosistem pendidikan yang mampan, holistik dan berimpak tinggi.

🔹 A – Amanah
Pegangan nilai integriti, akauntabiliti dan etika kerja tinggi sebagai asas kepercayaan, profesionalisme serta kelestarian PMM sebagai Politeknik Premier.
KARSA K.I.T.A bukan sekadar mercu tanda fizikal, tetapi lambang iltizam dan perjuangan berterusan seluruh warga PMM dalam melahirkan graduan berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan negara.